Saturday 6 June 2020

KEINGINAN UNTUK SEBUAH PENGAKHIRAN



 

[PART 1: KEINGINAN UNTUK SEBUAH PENGAKHIRAN]

Aku Larch. Aku seseorang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Untuk membina keyakinan diri yang baru, aku mula menulis. Aku bukan budak sastera tetapi aku boleh menulis. Menulis satu puisi mungkin? Kalau kau anggap itu puisi.


Tapi bagi aku ianya cuma tulisan tangan yang aku anggap sebagai panduan untuk aku menanamkan tekad baru. 
Tulisan ini adalah, "Keinginan untuk sebuah pengakhiran"

Tanganku memegang pena dengan erat. Oksigen disedut sedalam-dalamnya memenuhi ruangan paru-paru. Dan aku mula menulis... 


𝗞𝗘𝗜𝗡𝗚𝗜𝗡𝗔𝗡 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗦𝗘𝗕𝗨𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗞𝗛𝗜𝗥𝗔𝗡

Aku bukan utusan Tuhan
Aku cuma hamba dari ciptaan Tuhanku
Saat kelahiranku di dunia ini, aku cuma inginkan pengakhiran yang baik
Tapi bagaimana pengakhiran yang aku mahukan itu?
Pengakhiran baik yang diidam idamkan
Atau
Pengakhiran yang seindah indah alam?
Adakah pengakhiran itu perlu perjuangan yang dalam?

Aku ketawa seorang diri
Berfikir betapa mudahnya aku berimaginasi
Mudahnya aku menciptakan cerita
Mudahnya aku membina rasa
Tapi aku lupa, aku punya Tuhan
DIA yang mengizinkan aku untuk mewujudkannya
Tanpa Tuhan, 
Sekecil apa pun perancanganku tidak akan pernah terjadi tanpa keizinan-NYA

Lalu, aku berdiri & bertekad
Perancangan aku atur sebaik mungkin
Demi merealisasikannya, aku yang perlu mula!

Langkah kecil itu dimulakan dengan niat
Langkah itu disokong permata walau bersyarat
Hari hari aku sentiasa bersemangat
Dengan harapan langkah aku tadi dapat dilihat

Langkah itu juga disokong rapat oleh sahabat
Penghina dan pengkritik makin mendekat
Tekad di hati aku makin tidak kuat
Dicabar dengan ujian yang terasa kelat
Doa & Tawakal untuk Tuhan aku jadikan hikayat
Biar pelumpuh semangat segera disekat



Aku berhenti menulis seketika. Menatap langit pekat malam kosong tanpa bintang. Cuba mencari kekuatan pada alam ciptaan Tuhan. 


Note: Jangan berhenti di sini. Kalau curious, masih ada sambungan di PART II.


[PART II: KEINGINAN UNTUK SEBUAH PENGAKHIRAN]

Aku kembali menulis. Setiap bait ayat itu adalah keinginan dari hati aku. Sebelum lanjut membaca bahagian ini, aku sarankan kau baca dulu Bahagian I. Baru kau faham penceritaan dari awal.

Sudah baca? 
Nahhh, sambunglah..



𝗞𝗘𝗜𝗡𝗚𝗜𝗡𝗔𝗡 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗦𝗘𝗕𝗨𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗞𝗛𝗜𝗥𝗔𝗡

Aku ulang niatku setiap hari
Aku jadi yakin pada diri
Aku tidak mahu tewas sebelum berlari
Biar orang lihat aku seperti tiada erti
Biar orang lihat aku seperti bakal mati
Biar mereka semua tahu mereka cuma mendengki

Kerana aku
Masih memilih untuk terus berdiri

Andai satu saat aku jatuh dan berduka
Andai satu saat aku kalah dan tidak disuka
Andai satu saat aku kecundang dan terluka

Aku cuma perlukan kau mengingatkan aku kembali
Tentang pengakhiran yang aku idamkan
Tentang cerita mimpi yang aku imaginasikan
Supaya aku kembali teguh untuk merealisasikan

Kalau di pengakhiran itu nanti aku kalah
Aku janji aku tidak akan menuding salah
Aku janji aku akan mengaku kalah
Kerana Tuhan telah berjanji pasti
Yang berusaha pasti akan dapat puncaknya
Yang beralasan pasti akan dapat sakitnya

Perjuangan ke arah pengakhiran yang baik itu datang dari aku
Tapi penentu kepada perjuangan aku datang dari Tuhanku

Kerana apa?

Kerana aku, perjuangan aku dan dunia ini sendiri bukan milik aku
Aku cuma hanya seorang pelaku dan perayu untuk dikurniakan pengakhiran yang baik


Salam dari Larch (Larix) | 6 June 2020


Terima kasih untuk masa yang kau luangkan. Terima kasih kerana membaca tulisan tangan ini. Mungkin aku akan kembali dengan cerita baru kalau diizinkan.Tunggu nanti.

Doakan aku berjaya.

Tuesday 21 April 2020

ADAKAH KEMISKINAN ITU SATU AIB?


Baru-baru ini tular video Ustaz Ebit Lew yang membantu sebuah keluarga yang hidup serba daif di media sosial. Kebanyakan masyarakat memuji sikap prihatin dan bantuan yang dihulurkan oleh Ustaz Ebit Lew kepada keluarga tersebut namun terdapat juga kata-kata yang tidak manis mempertikaikan tindakan Ustaz Ebit Lew yang memuat naik video tersebut di laman sosial. Saya terlintas untuk membaca komen di bawah video tersebut dan rata-ratanya bersimpati dan prihatin dengan keadaan keluarga tersebut di samping memuji tindakan Ustaz Ebit Lew yang sudi membantu keluarga tersebut. 

Ada satu pendapat luar dari seorang hamba Allah ini mengatakan bahawa tindakan Ustaz Ebit Lew memuat naik video tersebut untuk dikongsikan kepada masyarakat dikatakan membuka aib. Dan tidak sengaja terlintas di fikiran saya, adakah kemiskinan itu satu aib? Adakah kemiskinan itu sesuatu yang perlu dimalukan? Adakah hidup kita yang miskin akan jatuh dosa? Adakah dia rasa malu dengan melihat kemiskinan orang lain? Persoalannya, siapa anda untuk menghukum sedangkan anda dan dia adalah hamba Allah yang sama.

Allah tidak pernah meletakkan kemiskinan itu satu aib. Sekiranya kita diberi pilihan untuk hidup miskin atau kaya, mana satu akan menjadi pilihan anda? Sudah tentu hidup yang senang lenang dan cukup keperluan yang anda akan pilih. Betul bukan? Tidak semua orang ingin hidup serba daif dan kekurangan. Kalau dia merasakan hidup miskin dan serba kekurangan itu sebagai satu perkara yang memalukan, bersyukur atau tidak dia dengan kurniaan rezeki Allah? Kalau seseorang itu bersyukur kenapa perlu malu sedangkan, rezeki Allah tidak pernah salah alamat dan sudah tentu akan sampai tepat pada masanya. Kalau diceritakan konsep rezeki, rezeki tidak semestinya dipandang dalam bentuk wang ringgit. Apa sahaja yang kita perolehi dari Allah sebenarnya dikira sebagai rezeki. Hidup serba kekurangan tapi diberikan tubuh badan yang sihat dan kudrat yang kuat untuk bekerja. Hidup serba kekurangan tapi dipermudahkan urusan dalam beribadah. Bukankah itu juga dikira sebagai rezeki? Jadi mengapa kita perlu meletakkan hukum bahawa masyarakat yang saling membantu antara satu sama lain dikatakan sebagai membuka aib? Mengapa perlu dia berasa malu dengan kemiskinan orang lain dan merasakan perkara itu adalah satu keaiban?

Sebenarnya jika dipandang dari sudut yang positif, bukankah banyak perkara yang dapat kita pelajari? Jadi apa yang kita mahukan sebenarnya?

Zaman yang serba canggih kini membuatkan kita semakin alpa dengan orang sekeliling, makan atau kebulurkah jiran kita? sihat atau sakitkah jiran kita? Tidak sempat pun sebenarnya kita nak ambil tahu hal hidup orang lain kerana masing-masing sibuk menjaga diri dan keluarga masing-masing. Jadi pada pendapat saya, tak ada isu pun sebenarnya yang perlu dibahaskan mengenai video tersebut. Ustaz Ebit Lew telah menjalankan tugasnya sebagai seorang hamba Allah dan juga sebagai seorang masyarakat yang bertanggungjawab. Termasuk juga netizen yang mana pernah membantu mempermudahkan urusan orang lain. Terima kasih atas kebaikan anda. Membantu orang lain yang tidak cukup keperluan dan mengambil tahu keadaan masyarakat kini sewajarnya dilakukan dan bukan dijadikan isu untuk dipertikaikan. Saya juga turut bersetuju dengan ayat Ustaz Ebit Lew dalam video tersebut, saya kesiankan diri saya, apa saya nak jawab dekat Allah esok. Ceramah hari-hari, pakcik duduk dekat sini. Tersentuh hati dengan kata-kata Ustaz Ebit Lew. Apa usaha kita dalam membantu masyarakat Islam sendiri. Di mana rasa tanggungjawab kita kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat? Kalau betul kita seorang yang bertanggungjawab dan prihatin, kita tidak akan sewenang-wenangnya mempertikaikan kebaikan orang. Ikhlas atau tidak biarlah urusan dia dengan Allah. Kita jalankan tugas kita sebagai masyarakat itu yang lebih mustahak.

Pengajaran atau iktibar yang kita boleh ambil ialah konsep usaha, doa dan tawakal. Allah menjadikan kita sebagai hamba Allah yang paling istimewa di mana kita diberikan akal fikiran yang mampu membuat keputusan dan pilihan dalam hidup. Dengan rezeki yang Allah berikan, bagaimana cara kita untuk menggunakannya dan apakah tindakan kita untuk berusaha mendapatkan kehidupan yang selesa? Ianya bukanlah satu tindakan yang mudah namun Allah menjadikan kita berbeza berbeza cara kehidupan adalah untuk saling melengkapi kerana kita saling memerlukan. Kita takkan mampu hidup di dunia ini seorang diri tanpa ada komitmen dengan orang lain. Janganlah kita bongkak dan angkuh dengan kehidupan kita yang selesa. Sentiasa merendah diri itu yang terbaik.

Kita ini bukanlah sesiapa untuk menghukum. Tidak usah pertikai kebaikan yang ditunjukkan. Ikhlaskan hati dan ambil iktibar dari kebaikan yang dikongsikan. Bantulah mengikut kemampuan. Sekiranya tidak mampu, sebarkan kebaikan dan sama-samalah berdoa agar semua segala urusan kita dipermudahkan Allah. 

Maaf andai ada yang tidak bersetuju. Saya hanya berkongsi pendapat saya. Pendapat orang lain juga tidak salah cuma penilaian kita berbeza mengikut kehendak. Positi atau negatif yang anda cari. Terima Kasih sebab singgah dan sudi baca sampai habis.

Tuesday 4 September 2018

Bakat

 
Bakat atau dalam Bahasa inggeris orang panggil skill.

Semua manusia dikurniakan bakat atau kebolehan oleh Allah. Kita sebenarnya yang tidak sedar atau kita rasakan kebolehan itu sebagai kekurangan dalam diri kita sendiri. Macam mana yang dimaksudkan dengan kita tidak sedar itu?

Sebagai contoh, 

Kita dapat memahami dengan cepat dan mampu membuat perkiraan matematik dengan pantas berbanding dengan orang lain yang mungkin tercari-cari kalkulator atau sedang mengira jari jemarinya untuk mendapatkan jawapan.

Nampak mudah dan anda rasa perkara ini hanya kebiasaan. Sebenarnya itu adalah bakat yang Allah anugerahkan untuk anda dalam memahami dan cekap dalam membuat sebarang perkiraan berbanding dengan perkara lain yang dalam diam mungkin anda tidak sedar.

Allah telah menciptakan otak dan seluruh anggota badan kita yang terdiri daripada pelbagai fungsi, tujuan dan kemahiran. Yang membezakan kita adalah bakat kita sendiri. Sejauh mana kita mempelajari untuk mengasah bakat yang terpendam dalam diri kita dan sejauh mana jugakah kita menggunakan bakat yang kita ada kepada diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat.

Jadi jangan pernah sesekali berkata,

Aku tak ada bakat macam kau…

Tetapi yakin yang sebenarnya bakat anda dalam bidang lain. Allah tidak menjadikan semua manusia itu sama warna kulitnya, sama bahasa pertuturannya, sama warna rambut dan matanya, sama ketinggiannya kerana Allah ingin kita melihat variasi atau kepelbagaian dalam sesuatu perkara. Allah ingin membuktikan bahawa kita diciptakan dengan personaliti dan kebolehan berbeza supaya kita sama-sama belajar antara satu sama lain dan saling menyumbang bakat masing-masing.

Bakat dan kelebihan yang kita ada cuma nampak sedikit dan oleh itu kita perlukan ilmu, latihan dan masa untuk mengasah bakat tersebut supaya lebih praktikal dan menyerlah. Mungkin anda lemah dalam perkiraan tapi anda mampu memahami ilmu sains atau mungkin anda hebat dalam teknologi/IT yang kemungkinan nampak rumit bagi orang lain. Mungkin anda lemah dalam seni lukis tapi siapa tahu anda hebat dalam memasak atau mungkin juga hebat dalam sukan.

Banyak sebenarnya bidang yang kita ada dan banyak juga sebenarnya bakat yang kita mungkin tak tahu sebab kita belum pernah mencuba atau belajar. Belum cuba dah mengaku kalah sebab kita setkan minda kita yang kita tak boleh buat, then sampai bila-bila kita takkan boleh buat.

Untuk pengetahuan anda, Minda kita adalah sebenarnya motivasi terkuat untuk diri kita sendiri kalau kita betul-betul bersungguh dan terus setkan minda kita ke arah positif. Siapa lagi yang kita harapkan untuk motivasikan diri kita melainkan diri kita sendiri. You deserve better for what you do so why we need to give up? Bukankah kegagalan itu sebahagian daripada kejayaan?

Aku pun bermula dari bawah, sejak kecil memang suka melukis. Conteng buku sana sini tapi aku tak pernah sedar dan aku rasa memang itu tabiat budak-budak kecil yang suka menconteng sana sini.

Sejak masuk sekolah rendah, aku mula suka lukis kartun-kartun walaupun tak jadi. Aku tak pernah rasa bosan dan tetap lukis walaupun tak jadi dan lama-kelamaan bila aku berjaya melukis watak kartun kegemaran aku, aku seronok. Rasa macam dunia ini ana yang punya, hahaha.

Sejak itu aku akan lukis apa sahaja kartun yang aku pandai lukis dan aku jual lukisan aku. Masa tu jual dalam 20 sen, 30 sen 50 sen dan paling mahal RM1.00. Duit yang tak seberapa aku dapat tu aku beli makanan masa balik sekolah kat luar pagar.
Kadang aku lukis satu watak kartun sebesar kertas lukisan dan bagi dekat guru kelas untuk tampal dalam kelas sama ada di pintu masuk kelas atau di papan kenyataan seni.

Satu kekurangan aku adalah aku seorang yang kurang confident dan tidak suka bersaing. Sebab itu, aku hanya suka melukis sebagai hobi sahaja dan takkan masuk apa-apa pertandingan sama ada di peringkat sekolah atau peringkat lain.

Masuk sekolah menengah aku manfaatkan kelas seni aku dengan focus belajar skill seni sebab seni tak pernah bosan atau mengantuk. Hahaha. Kalau kelas lain dah tersengguk sebab mengantuk. Masuk tingkatan enam pun masih setia menjadi pelajar seni.

Aku suka melukis daripada mewarna so jangan ingat semua orang pandai melukis dia pandai mewarna tau. Hahaha. Aku boleh mewarna tapi depend kepada media yang aku gunakan. Watercolour dengan colour pencil yes but not marker! Im failed!

Tahu tak aku pernah berhenti melukis masa sekolah menengah sebab result exam aku teruk. Aku rasa apa yang aku buat ni semua mengarut dan tak ada manfaat. Jadi aku tukar hobi baru iaitu membaca. Aku mula berjinak dan minat membaca novel-novel dan kemudian buku-buku yang berunsur motivasi/agama dan akhirnya beralih ke arah novel-novel inggeris untuk tujuan meningkatkan pemahaman dalam Bahasa inggeris. Disebabkan hobi baru ini, aku tinggalkan pensil dan kertas, aku tinggalkan minat asal aku iaitu melukis.

Then, suatu hari aku terlihat kawan sekelas aku melukis. Simple tapi cantik di mata aku. Aku mula triggered. Rasa nak melukis membuak-buak dalam diri. Balik rumah selepas selesai makan semua, terus gapai pencil, kertas dengan buku rujukan yang ada kartun untuk melukis. Tangan perlahan-lahan mula melakar garisan. Kali ini aku mengambil masa yang agak lama untuk melukis. Tangan aku kaku dan keras. Seolah-olah aku baru belajar melukis. Setiap kali aku melukis aku gagal, rasa nak give up sebab lukisan aku tak jadi seperti yang aku harapkan.

Selepas berkali-kali mencuba dan melukis kembali untuk melembutkan balik tangan aku yang keras ni, aku berjaya. Kemudian aku seimbangkan masa yang aku ada untuk melukis dan membaca sehingga ke hari ini.

Kesimpulannya, aku nak cakap setiap bakat yang kita ada jangan sesekali abaikan. Keep practicing dan insya-Allah akan jadi mudah. Lain orang lain bakatnya. Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain ke arah negatif tetapi bandingkan untuk ke arah positif supaya kita dapat memperbaiki diri sendiri.

So Dont compare because we are all different.

Bagi yang nak tengok my drawings boleh ke instagram @emmaashri_arts or #emmaashri_arts.

Saturday 26 May 2018

Kidal



Kidal? Ya, aku seorang kidal. Satu-satunya kidal dalam keluarga aku.

Kidal ke yang buat aku istimewa?

Tak. Aku tekankan sekali lagi, TAK.

Kidal pernah buat aku rasa down. Kidal pernah buat aku rasa stress. Aku kena marah disebabkan aku guna tangan kiri pada perbuatan yang sepatutnya aku guna tangan kanan. Contohnya, makan menggunakan sudu atau garfu.

Ya, aku tahu kita makan memang sepatutnya tangan kanan tapi bagi seorang kidal ia jadi rumit untuk ubah tabiat tersebut atas dasar keselesaan. Setiap hari aku akan ingatkan diri sendiri untuk ubah tabiat aku bila makan menggunakan sudu. Aku juga manusia. Kadang-kadang aku terlupa. Sekali lagi aku dimarahi dan setiap kali mereka nampak aku guna tangan kiri aku akan dimarahi.

Aku mula rasa down. Rasa stress setiap kali kena marah. Aku mula buruk sangka. Aku mula persoalkan ketentuan Allah untuk aku. Kenapa Allah jadikan aku si kidal? Kenapa Allah tak jadikan aku seperti orang lain yang menggunakan tangan kanan?

Seolah-olah yang kiri dinampak jahat, yang kanan dilihat baik.

Aku tak sedar sebenarnya kidal jadikan aku unik. Kidal aku disertakan bakat. Bakat yang biasa tapi cukup membantu aku. Sejak itu, aku mula positifkan diri.

Aku cuba. Apa saja aktiviti harian aku yang perlu aku guna tangan kanan, aku usahakan sampai menjadi kebiasaan. Susah tapi aku cuba.

Sebenarnya untung menjadi si kidal ini. Aku boleh ajar diri aku menggunakan kedua-dua tangan dan bak kata orang multi-talented sebab kiri dan kanan mampu melakukan kerja. Tapi tidak kesemuanya aku mampu guna tangan kiri misalnya menggunakan tetikus (mouse) ketika bermain laptop kerana aktiviti ini aku telah dilatih sejak awal penggunaannya menggunakan tangan kanan. Jadi keselesaan itu lebih kepada penggunaan tangan kanan berbanding dengan tangan kiri.

Sama juga dengan makan menggunakan tangan. Walaupun aku si kidal, aku tetap diajar makan menggunakan tangan kanan dan itu sudah menjadi sebati dalam diri aku kerana adab dalam islam adalah memulakan sesuatu yang baik dengan sebelah kanan.

Jadi kenapa wujudnya orang si kidal ini ya? Adakah mereka tidak dilatih dan diajar oleh ibu bapa mereka sejak kecil?

Jawapannya adalah tidak. Aku telah pun dilatih untuk menggunakan tangan kanan dan setiap kali aku menggunakan tangan kiri pasti aku akan kena marah. Sebenarnya kidal adalah pengguna aktif otak sebelah kanannya. Jadi refleksi atau tindakbalas seseorang kidal ini lebih kepada tangan kiri apabila ingin memulakan sesuatu pekerjaan dan bukannya sengaja aku menjadi seorang kidal.

Kidal bukan bererti seseorang itu aneh mahupun cacat tetapi aku pandang kidal ini sebagai unik. Aku bersyukur Allah jadikan aku unik dan mempunyai kelainan berbanding dengan orang lain. Kajian juga ada memperkatakan bahawa kidal lebih cenderung ke arah bidang seni dan artistik. Ya dan aku tidak menafikan. Kebanyakannya adalah betul tetapi tidak semua. Masih juga ada si pengguna tangan 'normal' (kanan) yang berseni dan artistik.

Untuk pengetahuan anda, 13 Ogos merupakan tarikh yang dipilih untuk meraikan Hari Kidal Sedunia. Antara orang-orang ternama yang merupakan si kidal adalah Albert Einstein, Charles Darwin, Benjamin Franklin, Isaac Newton, Barack Obama, Bill Clinton, George H.W. Bush dan Gerarld Ford. Antara selebriti luar yang juga merupakan kidal adalah Justin Bieber, Adam Levine, Tom Cruise, Whoopi Goldberg, Paul McCartney, Oprah Winfrey, Celine Dion, Jennifer Lawrence, Brad Pitt, Angelina Jolie, Marilyn Monroe, Kurt Cobain, dan Jimi Hendrix.

Menurut sumber dari https://www.thevocket.com,

Jika kedua orang tua kidal, maka ada kemungkinan 50% keturunan mereka juga akan kidal. Sebaliknya, jika kedua orang tua tidak kidal, kemungkinan untuk anda menjadi golongan atasan seperti kami adalah 2% sahaja.

Ya. Aku merupakan golongan 2% itu kerana mama dan abah aku bukan golongan kidal. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh google fakta menarik untuk golongan kidal. Kebanyakan peratusan kidal lebih kepada golongan lelaki berbanding wanita manakala peratusan kidal lebih rendah berbanding dengan golongan tangan 'normal'.

Walaupun aku menghadapi kesukaran menggunakan objek tertentu yang kebanyakannya dicipta berdasarkan penggunaan tangan kanan tapi Alhamdulillah aku masih mampu menggunakannya dengan baik. Aku pernah diajar oleh mama untuk menyiang ikan dan mama menghadapi kesukaran untuk mengajar aku cara memotong dek kerana mama aku mengajar menggunakan tangan kanan manakala aku menggunakan tangan kiri jadi cara aku memegang pisau dilihat lebih berbahaya sedangkan tidak bagi aku atas faktor keselesaan.

Aku juga menghadapi kesukaran ketika aku mengaji atau membaca Al-Quran kerana aku sering menggunakan tangan kiri untuk menunjuk pada ayat yang sedang dibaca. Sering kali aku ditegur oleh ustaz dan ustazah kerana adab membaca Al-Quran adalah menunjukkan ayat yang dibaca menggunakan sebelah kanan. Tidak termasuk lagi kesukaran dalam menulis ketika semua kawan-kawan kau mostly menggunakan tangan kanan. Aku pasti akan memerlukan ruang supaya aku tidak bersentuhan dengan mereka yang menulis menggunakan tangan kanan.

Bukan mudah sebenarnya menjadi si kidal. Jadi bagi masyarakat luar sana, jangan mudah judge atau menghukum golongan kidal sesuka hati kerana Allah menciptakan manusia itu berbeza-beza kemampuan dan kebolehannya. Segalanya memerlukan latihan bagi si kidal untuk mahir menggunakan tangan kanan juga. Jangan rasa diri ini terlalu hebat bila Allah jadikan kau normal macam orang lain dan kau pandang orang kidal itu sebagai satu kecacatan.

Bermula dengan kidal, aku mula mengenali dan asah bakat dalam diri aku sendiri. Walaupun aku berbeza, aku yakin ada sesuatu yang aku boleh buat sama seperti golongan tangan kanan mampu buat. Satu kata yang aku pegang adalah CUBA.

Wednesday 9 May 2018

Karya Terbaru Teme Abdullah

 
Alhamdulillah, Hari ni selesai sudah tanggungjawab saya sebagai seorang rakyat Malaysia dalam memilih pemimpin kepada sebuah negara demokrasi ini. Semoga pemimpin-pemimpin baru yang menang dapat menjalankan tanggungjawab sebaiknya. Saya bukan nak bercerita mengenai PRU-14 tapi saya nak kongsikan satu berita gembira yang saya dapat petang tadi.

Berita gembira apa tu?

Cerita dia macam ni, petang tadi saya tengah tunggu adik saya bersiap untuk pergi mengundi dan tak disangka-sangka ada abang posmen ni sampai. Terus saya pergi ke pagar luar nak sign barang yang dipost sebab dah agak dah barang apa yang dah sampai tu. Hahaha.

Masuk je dalam rumah, terus buka bungkusan pos laju tu. Seronok tak terkira sebab buku yang saya pre-order sebelum PBAKL tu dah sampai. Saya order 2 buah buku baru karya Teme Abdullah yang dijual dengan harga kombo dan termasuk postage harganya RM 63.00.

Yang paling buat saya excited, masa saya angkat buku Empayar tu terus terjatuh business kad of Teme yang mana cover kad tersebut Teme sendiri yang lukis. Rasa bertuah la walaupun tak dapat datang jumpa Teme dekat PBAKL haritu tapi still dapat sokong dia dari beli hasil karya dia. Satu lagi part yang paling mengujakan adalah saat saya selak muka hadapan buku Empayar tu saya nampak autograph Teme with Thanks! Allahu, Rasa excited tak payah cakap satu rumah kecoh dengan suara saya. Hahaha. Siap tunjuk dekat mama lagi yang saya dapat sign Teme. Mama saya macam biasalah, dia tak kisah. Dia tahu yang saya suka membaca dan membeli buku.Haha







Kemudian saya membelek-belek buku Impian Jalanan dan Empayar. Rasa tak sabar nak baca dan saya rasakan karya baru Teme kali ini ada kelainan dan keunikan tersendiri berbeza dengan karya-karya beliau yang sebelum ini.

Saya mula jatuh hati dengan karya-karya Teme sejak saya terbelek buku Pelukis Jalanan yang terkandung beberapa lukisan hasil tangan Teme sendiri. Hati saya kagum dengan kekemasan lukisan beliau dan selepas itu barulah saya membelek isi kandungannya yang lain. Terus terdetik di hati nak beli then nak baca buku Pelukis Jalanan since saya juga merupakan pelajar arts dan design. Jadi sedikit sebanyak ia memberi inspirasi kepada saya.

Habis sahaja buku Pelukis Jalanan terus saya dapatkan buku kedua Teme, Arkitek Jalanan. Buku kedua Teme banyak berkongsi pengalaman sebagai budak design yang terkejar-kejar submission dan banyak juga cerita-cerita motivasi yang telah digarapkan oleh penulis kepada pembaca. Sejak itu, saya mula menyokong hasil karya Teme dan mula mengikuti perkembangan beliau di instagram. Paling best kalau Teme kongsikan hasil drawing Teme kat instagram. Skills Teme membuatkan saya juga berusaha nak hasilkan karya yang terbaik dengan cara saya tersendiri.

Btw, terima kasih sebab luangkan masa Teme signkan buku-buku yang pre-order walaupun sibuk. Saya sebagai pembaca akan terus menyokong karya-karya Teme Abdullah pada masa ini dan pada masa akan datang, InshaAllah. Teruskan berkarya yang dapat memberikan mesej dan pengajaran yang berguna kepada si pembaca. Benarlah bahawa pengalaman itu berbeza daripada bercerita mulut sahaja namun pengalaman itu akan lebih bermakna sekiranya dikongsi bersama.

Penulis,
Little Miss