Tuesday 21 April 2020

ADAKAH KEMISKINAN ITU SATU AIB?


Baru-baru ini tular video Ustaz Ebit Lew yang membantu sebuah keluarga yang hidup serba daif di media sosial. Kebanyakan masyarakat memuji sikap prihatin dan bantuan yang dihulurkan oleh Ustaz Ebit Lew kepada keluarga tersebut namun terdapat juga kata-kata yang tidak manis mempertikaikan tindakan Ustaz Ebit Lew yang memuat naik video tersebut di laman sosial. Saya terlintas untuk membaca komen di bawah video tersebut dan rata-ratanya bersimpati dan prihatin dengan keadaan keluarga tersebut di samping memuji tindakan Ustaz Ebit Lew yang sudi membantu keluarga tersebut. 

Ada satu pendapat luar dari seorang hamba Allah ini mengatakan bahawa tindakan Ustaz Ebit Lew memuat naik video tersebut untuk dikongsikan kepada masyarakat dikatakan membuka aib. Dan tidak sengaja terlintas di fikiran saya, adakah kemiskinan itu satu aib? Adakah kemiskinan itu sesuatu yang perlu dimalukan? Adakah hidup kita yang miskin akan jatuh dosa? Adakah dia rasa malu dengan melihat kemiskinan orang lain? Persoalannya, siapa anda untuk menghukum sedangkan anda dan dia adalah hamba Allah yang sama.

Allah tidak pernah meletakkan kemiskinan itu satu aib. Sekiranya kita diberi pilihan untuk hidup miskin atau kaya, mana satu akan menjadi pilihan anda? Sudah tentu hidup yang senang lenang dan cukup keperluan yang anda akan pilih. Betul bukan? Tidak semua orang ingin hidup serba daif dan kekurangan. Kalau dia merasakan hidup miskin dan serba kekurangan itu sebagai satu perkara yang memalukan, bersyukur atau tidak dia dengan kurniaan rezeki Allah? Kalau seseorang itu bersyukur kenapa perlu malu sedangkan, rezeki Allah tidak pernah salah alamat dan sudah tentu akan sampai tepat pada masanya. Kalau diceritakan konsep rezeki, rezeki tidak semestinya dipandang dalam bentuk wang ringgit. Apa sahaja yang kita perolehi dari Allah sebenarnya dikira sebagai rezeki. Hidup serba kekurangan tapi diberikan tubuh badan yang sihat dan kudrat yang kuat untuk bekerja. Hidup serba kekurangan tapi dipermudahkan urusan dalam beribadah. Bukankah itu juga dikira sebagai rezeki? Jadi mengapa kita perlu meletakkan hukum bahawa masyarakat yang saling membantu antara satu sama lain dikatakan sebagai membuka aib? Mengapa perlu dia berasa malu dengan kemiskinan orang lain dan merasakan perkara itu adalah satu keaiban?

Sebenarnya jika dipandang dari sudut yang positif, bukankah banyak perkara yang dapat kita pelajari? Jadi apa yang kita mahukan sebenarnya?

Zaman yang serba canggih kini membuatkan kita semakin alpa dengan orang sekeliling, makan atau kebulurkah jiran kita? sihat atau sakitkah jiran kita? Tidak sempat pun sebenarnya kita nak ambil tahu hal hidup orang lain kerana masing-masing sibuk menjaga diri dan keluarga masing-masing. Jadi pada pendapat saya, tak ada isu pun sebenarnya yang perlu dibahaskan mengenai video tersebut. Ustaz Ebit Lew telah menjalankan tugasnya sebagai seorang hamba Allah dan juga sebagai seorang masyarakat yang bertanggungjawab. Termasuk juga netizen yang mana pernah membantu mempermudahkan urusan orang lain. Terima kasih atas kebaikan anda. Membantu orang lain yang tidak cukup keperluan dan mengambil tahu keadaan masyarakat kini sewajarnya dilakukan dan bukan dijadikan isu untuk dipertikaikan. Saya juga turut bersetuju dengan ayat Ustaz Ebit Lew dalam video tersebut, saya kesiankan diri saya, apa saya nak jawab dekat Allah esok. Ceramah hari-hari, pakcik duduk dekat sini. Tersentuh hati dengan kata-kata Ustaz Ebit Lew. Apa usaha kita dalam membantu masyarakat Islam sendiri. Di mana rasa tanggungjawab kita kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat? Kalau betul kita seorang yang bertanggungjawab dan prihatin, kita tidak akan sewenang-wenangnya mempertikaikan kebaikan orang. Ikhlas atau tidak biarlah urusan dia dengan Allah. Kita jalankan tugas kita sebagai masyarakat itu yang lebih mustahak.

Pengajaran atau iktibar yang kita boleh ambil ialah konsep usaha, doa dan tawakal. Allah menjadikan kita sebagai hamba Allah yang paling istimewa di mana kita diberikan akal fikiran yang mampu membuat keputusan dan pilihan dalam hidup. Dengan rezeki yang Allah berikan, bagaimana cara kita untuk menggunakannya dan apakah tindakan kita untuk berusaha mendapatkan kehidupan yang selesa? Ianya bukanlah satu tindakan yang mudah namun Allah menjadikan kita berbeza berbeza cara kehidupan adalah untuk saling melengkapi kerana kita saling memerlukan. Kita takkan mampu hidup di dunia ini seorang diri tanpa ada komitmen dengan orang lain. Janganlah kita bongkak dan angkuh dengan kehidupan kita yang selesa. Sentiasa merendah diri itu yang terbaik.

Kita ini bukanlah sesiapa untuk menghukum. Tidak usah pertikai kebaikan yang ditunjukkan. Ikhlaskan hati dan ambil iktibar dari kebaikan yang dikongsikan. Bantulah mengikut kemampuan. Sekiranya tidak mampu, sebarkan kebaikan dan sama-samalah berdoa agar semua segala urusan kita dipermudahkan Allah. 

Maaf andai ada yang tidak bersetuju. Saya hanya berkongsi pendapat saya. Pendapat orang lain juga tidak salah cuma penilaian kita berbeza mengikut kehendak. Positi atau negatif yang anda cari. Terima Kasih sebab singgah dan sudi baca sampai habis.

No comments: