Saturday 6 June 2020

KEINGINAN UNTUK SEBUAH PENGAKHIRAN



 

[PART 1: KEINGINAN UNTUK SEBUAH PENGAKHIRAN]

Aku Larch. Aku seseorang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Untuk membina keyakinan diri yang baru, aku mula menulis. Aku bukan budak sastera tetapi aku boleh menulis. Menulis satu puisi mungkin? Kalau kau anggap itu puisi.


Tapi bagi aku ianya cuma tulisan tangan yang aku anggap sebagai panduan untuk aku menanamkan tekad baru. 
Tulisan ini adalah, "Keinginan untuk sebuah pengakhiran"

Tanganku memegang pena dengan erat. Oksigen disedut sedalam-dalamnya memenuhi ruangan paru-paru. Dan aku mula menulis... 


𝗞𝗘𝗜𝗡𝗚𝗜𝗡𝗔𝗡 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗦𝗘𝗕𝗨𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗞𝗛𝗜𝗥𝗔𝗡

Aku bukan utusan Tuhan
Aku cuma hamba dari ciptaan Tuhanku
Saat kelahiranku di dunia ini, aku cuma inginkan pengakhiran yang baik
Tapi bagaimana pengakhiran yang aku mahukan itu?
Pengakhiran baik yang diidam idamkan
Atau
Pengakhiran yang seindah indah alam?
Adakah pengakhiran itu perlu perjuangan yang dalam?

Aku ketawa seorang diri
Berfikir betapa mudahnya aku berimaginasi
Mudahnya aku menciptakan cerita
Mudahnya aku membina rasa
Tapi aku lupa, aku punya Tuhan
DIA yang mengizinkan aku untuk mewujudkannya
Tanpa Tuhan, 
Sekecil apa pun perancanganku tidak akan pernah terjadi tanpa keizinan-NYA

Lalu, aku berdiri & bertekad
Perancangan aku atur sebaik mungkin
Demi merealisasikannya, aku yang perlu mula!

Langkah kecil itu dimulakan dengan niat
Langkah itu disokong permata walau bersyarat
Hari hari aku sentiasa bersemangat
Dengan harapan langkah aku tadi dapat dilihat

Langkah itu juga disokong rapat oleh sahabat
Penghina dan pengkritik makin mendekat
Tekad di hati aku makin tidak kuat
Dicabar dengan ujian yang terasa kelat
Doa & Tawakal untuk Tuhan aku jadikan hikayat
Biar pelumpuh semangat segera disekat



Aku berhenti menulis seketika. Menatap langit pekat malam kosong tanpa bintang. Cuba mencari kekuatan pada alam ciptaan Tuhan. 


Note: Jangan berhenti di sini. Kalau curious, masih ada sambungan di PART II.


[PART II: KEINGINAN UNTUK SEBUAH PENGAKHIRAN]

Aku kembali menulis. Setiap bait ayat itu adalah keinginan dari hati aku. Sebelum lanjut membaca bahagian ini, aku sarankan kau baca dulu Bahagian I. Baru kau faham penceritaan dari awal.

Sudah baca? 
Nahhh, sambunglah..



𝗞𝗘𝗜𝗡𝗚𝗜𝗡𝗔𝗡 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗦𝗘𝗕𝗨𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗞𝗛𝗜𝗥𝗔𝗡

Aku ulang niatku setiap hari
Aku jadi yakin pada diri
Aku tidak mahu tewas sebelum berlari
Biar orang lihat aku seperti tiada erti
Biar orang lihat aku seperti bakal mati
Biar mereka semua tahu mereka cuma mendengki

Kerana aku
Masih memilih untuk terus berdiri

Andai satu saat aku jatuh dan berduka
Andai satu saat aku kalah dan tidak disuka
Andai satu saat aku kecundang dan terluka

Aku cuma perlukan kau mengingatkan aku kembali
Tentang pengakhiran yang aku idamkan
Tentang cerita mimpi yang aku imaginasikan
Supaya aku kembali teguh untuk merealisasikan

Kalau di pengakhiran itu nanti aku kalah
Aku janji aku tidak akan menuding salah
Aku janji aku akan mengaku kalah
Kerana Tuhan telah berjanji pasti
Yang berusaha pasti akan dapat puncaknya
Yang beralasan pasti akan dapat sakitnya

Perjuangan ke arah pengakhiran yang baik itu datang dari aku
Tapi penentu kepada perjuangan aku datang dari Tuhanku

Kerana apa?

Kerana aku, perjuangan aku dan dunia ini sendiri bukan milik aku
Aku cuma hanya seorang pelaku dan perayu untuk dikurniakan pengakhiran yang baik


Salam dari Larch (Larix) | 6 June 2020


Terima kasih untuk masa yang kau luangkan. Terima kasih kerana membaca tulisan tangan ini. Mungkin aku akan kembali dengan cerita baru kalau diizinkan.Tunggu nanti.

Doakan aku berjaya.

No comments: